SELANGOR FC
BERITA

Persiapan MPL Malaysia Musim ke-13

Mar 10, 2024 - FAS

Skuad Yoodo Selangor Red Giants (YSRG) terus giat melakukan persiapan bagi menghadapi musim ke-13 yang akan bermula pada hujung bulan ini.  

Baru-baru ini, pasukan telah menjalani sesi ‘Team Building’ di Janda Baik, Pahang yang menumpukan kepada pengukuhan dan membentuk perpaduan yang positif di kalangan pemain, pegawai dan barisan jurulatih. 

Kesemua aktiviti dilakukan bukan sahaja untuk memberikan ruang kepada pasukan untuk berehat dari ‘Land of Dawn’, malah memfokuskan kepada pengisian yang dapat membentuk serta meningkatkan hubungan, komunikasi dan kerjasama dalam pasukan. 

Gojes, Exp Laner pasukan YSRG sempat berkongsi keterujaannya apabila melihat aktiviti yang dijalankan sangat membantu dalam memperkuatkan pasukan untuk musim yang akan datang. 

“Aktiviti ini sangat membantu kami. Saya sangat gembira melihat setiap individu dalam pasukan membentuk sebagai sebuah keluarga walaupun mereka datang dari latar belakang yang berbeza. Keadaan di sini juga sangat membantu sebagai terapi bagi kami kerana lokasinya yang terletak jauh dari bandar.  

"Selain itu, saya juga tidak sabar menantikan kejohanan yang akan bermula pada hujung bulan ini. Kita semua tahu akan ada banyak perubahan pada musim ini. Ia akan menjadi lebih menarik, dan kami membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi musim ini." 

Sementara pasukan melakukan persiapan untuk musim ke-13, pihak pengurusan yakin bahawa sesi ‘Team Building’ sangat memberikan impak positif dan menjadi salah satu persediaan yang wajib dilakukan sebelum musim bermula. Semoga segala yang dirancang dipermudahkan. 

Demi Kebanggaan!